Masih belum dapat dipastikan samada beregu wanita No.1 negara dapat beraksi atau tidak di kejohanan Terbuka Perancis – Jelajah Dunia Super 750, bermula 25 hingga 30 Oktober nanti.
Ianya berikutan salah seorang daripada gandingan tersebut, Pearly Tan sedang melalui fasa pemulihan ekoran kecederaan hamstring dan tendon di lutut kirinya. Kecederaan tersebut dialaminya ketika beraksi di Terbuka Jepun, hujung Ogos lalu.
Bagaimanapun, sekiranya dia diberikan ‘lampu hijau’ untuk beraksi di kejohanan tersebut, lawan pertama yang akan mereka hadapi adalah pasangan Indonesia yang menjuarai Terbuka Malaysia, Apriyani Rahayu dan Siti Fadia Silva Ramadhanti di Pusingan 32.
Baca: Pearly Tan Tidak Mengalami ACL Namun Perlu Berehat 4-6 Minggu
Pertemuan melibatkan pasangan yang berada di ranking ke-11 dan ke-26 dunia masing-masing ini berdasarkan hasil keputusan undian yang berlangsung, semalam.
Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-duanya pernah bertembung sebanyak dua kali dan keputusannya seimbang dimana setiap pasangan berhasil meraih satu kemenangan masing-masing.
Apriyani-Fadia merekodkan kemenangan ketika beraksi di kejohanan Indonesia Masters (23-21, 14-21 dan 14-21) manakala Pearly-Thinaah pula meraih kemenangan ketika bertarung dalam saingan Malaysia Masters (21-18 dan 21-17).
Untuk makluman semua, sebelum beraksi di Terbuka Perancis, Pearly-Thinaah turut tersenarai untuk beraksi di Terbuka Denmark bermula 18 hingga 23 Oktober.
Di kejohanan ini, mereka telah diundi menentang beregu Thailand, Supissara Paewsampran dan Puttita Supajirakul di Pusingan 32.
Featured Image: Badminton Association of Thailand