Stadium UTHM Dapat Pengiktirafan World Athletics
October 5, 2022 Hafizuddin Omar

Stadium Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang selesai dinaiktaraf pada awal Ogos lalu mendapat pengiktirafan badan induk olahraga dunia, World Athletics atau dahulunya dikenali sebagai International Association of Athletics Federation (IAFF).

Menerusi satu perkongsian, stadium terbabit mendapat pengiktirafan tersebut apabila diberikan pensijilan ‘World Athletics: Class 2 Athletics Facility Certificate’ pada 1 September lalu.

Pensijilan itu diberikan setelah kemudahan fasilit trek dan padangnya mencapai kehendak teknikal yang telah termaktub di dalam World Athletics Rules.

“Sejajar dengan kerja pembaikan dan naiktaraf tersebut, pihak PPP telah memanggil panel penilai yang terdiri daripada pakar trek dan padang bagi memastikan piawaian kualiti peringkat antarabangsa dapat dicapai.

“Pengikitirafan ini dapat membuktikan bahawa Stadium UTHM mampu menyediakan fasiliti bertaraf antarabangsa sekali gus mampu menjadi sebuah institusi yang terulung di peringkat global,” kata Pengarah Pejabat Pembangunan dan Penyengaraan (PPP), Prof. Madya Dr. Mohammad Kamil Abdullah.

Turut dimaklumkan, stadium tersebut telah mula dibuka kepada warga universiti sejak 19 September lalu untuk aktiviti sukan dan riadah.

Komen