Kelayakan Piala Asia B-17: Dibantai UAE & Indonesia, Guam Bangkit Ikat Malaysia
October 5, 2022 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak negara kepulauan kecil di lautan pasifik, Guam memulakan dua perlawanan peringkat Kumpulan B dalam Kelayakan Piala Asia Bawah 17 (B-17) dengan kekalahan yang sangat besar.

Mereka tumpas perlawanan pertama dengan keputusan 9-0 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Pada perlawanan kedua, mereka tumpas dengan jaringan yang lebih besar 14-0 kepada hos, Indonesia.

Bagaimanapun, pasukan dari negara yang cukup sinonim tidak mempunyai kekuatan besar dalam sukan bola sepak ini berjaya bangkit mengikat Malaysia dengan keputusan 1-1 pada perlawanan ketiga, hari ini.

Dalam perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan terlebih dahulu seri tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama. Selepas bermain hampir setengah jam pada babak kedua, barulah jaringan pertama muncul menerusi pemain negara, Qahir Dzakirin.

Namun begitu, keceriaan skuad negara bimbingan Osmera Omaro dapat mendahului 1-0 tidak berpanjangan apabila pemain lawan, Riku Ngeschekle Meyar berjaya menjaringkan gol penyamaan sekitar enam minit sebelum tamatnya 90 minit permainan.

Kedudukan tersebut kekal sehingga tamat permainan dan kedua-dua pasukan mengutip satu mata masing-masing. 

Pungutan mata itu memberikan Guam mata yang pertama dalam kejohanan ini selepas tiga perlawanan. Manakala Malaysia pula, ini menjadikan mereka mengumpul 4 mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Untuk pengetahuan semua, hanya juara kumpulan, lima naib juara terbaik serta hos sahaja dapat melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia B-17 yang akan berlangsung pada tahun hadapan.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen