Piala AFC: Penalti Hantar KL City Ke Final Bertemu Al-Seeb
October 5, 2022 Hafizuddin Omar

Skuad ibu kota, Kuala Lumpur City (KL City) yang beraksi buat pertama kali dalam saingan Piala AFC mencipta satu lagi sejarah apabila mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir.

Kejayaan itu tercipta selepas menumpaskan kelab berpangkalan di Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir inter-zone, sebentar tadi.

Penjaga golnya, Kevin Mendoza muncul hero dengan menyelamatkan satu sepakan penalti pemain lawan sekaligus menyudahkan penentuan tersebut dengan keputusan 5-3.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan terlebih dahulu terikat tanpa sebarang jaringan selepas 90 minit permainan. Permainan diheret lagi menjadi 120 minit permainan namun kedudukan 0-0 kekal sehingga wisel ditiup oleh pengadil perlawanan.

Dengan kemenangan ini, KL City kendalian Bojan Hodak akan menuju ke perlawanan akhir bertemu wakil Oman, Al-Seeb untuk merebut gelaran juara.

Untuk makluman semua, Al-Seeb mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir selepas berjaya menumpaskan wakil Bahrain, Al-Riffa dengan keputusan 4-0 dalam perlawanan akhir peringkat zon barat, Selasa lalu.

Sebagai tambahan, perlawanan akhir Piala AFC ini akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 22 Oktober kelak.

Featured Image: AFC Cup

Komen