Gedung kelengkapan sukan dari United Kingdom (UK), Sports Direct bersama-sama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengumumkan membentuk satu kerjasama pada hari ini.
Kerjasama ini dibentuk bagi mengangkat pembangunan bola sepak di negeri Selangor dengan memberikan fokus kepada program yang dianjurkan oleh FAS terutamanya Selangor Champions League (SCL), FAS Women Super League (WSL), FAS Juniors League dan lain-lain lagi.
Selaras dengan kerjasama dan kolaborasi yang dibentuk ini, Sports Direct turut diangkat sebagai Rakan Penaja Perak FAS selama dua tahun. Sepanjang jalinan kerjasama ini, Sports Direct mendapat peluang untuk mengadakan aktiviti promosi dan pengaktifan jenama yang memberikan manfaat kepada persatuan dan para penyokong.
Satu majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Sports Direct dan FAS turut berlangsung Sports Direct HQ di Sunway City pada hari ini.
Ianya ditandatangani antara Presiden FAS merangkap Raja Muda Selangor (RMS), DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj dan Pengarah Urusan Sports Direct Malaysia Sdn Bhd, Paul Gibbons.
Untuk pengetahuan semua, kini, Sports Direct mengoperasikan sebanyak 35 gedung jualan di seluruh Malaysia. Selain itu, mereka turut mempunyai laman e-dagang, sportsdirect.com.my untuk para pelanggan tempatan.