Piala Dunia 2022 Qatar Jadi Yang Terakhir Buat Lionel Messi
October 7, 2022 Hafizuddin Omar

Pemenang Ballon d’Or sebanyak tujuh kali dan penyerang prolifik, Lionel Messi mengesahkan kejohanan Piala Dunia 2022 Qatar menjadi yang terakhir disertai dalam kariernya.

Kejohanan Piala Dunia yang bermula pada 20 November kelak menjadi edisi kelima akan disertai oleh penyerang berusia 35 tahun ini bersama skuad kebangsaan Argentina.

Namun begitu, Messi mengesahkan niat untuk beraksi buat kali terakhir dalam kejohanan bola sepak terulung dunia ini menerusi satu makluman kepada ESPN.

“Saya sedang menghitung hari sehingga (berlangsungnya) Piala Dunia, memang betul, ada sedikit (perasaan) berdebar-debar kerana kami tidak sabar untuk beraksi. Selain itu, adanya sedikit tekanan menjelang kejohanan ini.”

“Ya, ia (Piala Dunia) akan jadi (terakhir).” katanya seperti dipetik daripada The Athletic sekaligus menyaksikan kelibatnya tidak akan kelihatan lagi di kejohanan Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada & Mexico.

Kehebatan, kelincahan dan ketajaman Messi tidak asing lagi buat peminat bola sepak seluruh dunia. Rekod jaringannya sebanyak 691 gol di peringkat kelab setakat ini menjadikannya dilabel sebagai salah seorangan penyerang terbaik sepanjang zaman. 

Selain rekod jaringan yang cukup menggerunkan, Messi turut meraih pelbagai trofi dan kejuaraan seperti juara La Liga, Ligue 1, Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Super Cup dan Piala Dunia Kelab FIFA di peringkat kelab.

Namun begitu, Messi belum merasai nikmat menjulang trofi Piala Dunia walaupun telah beraksi sebanyak empat edisi kejohanan terbabit. Peluang paling hampir untuk menjulang trofi tersebut hadir apabila skuad berjulukan La Albiceleste mara ke perlawanan akhir di edisi 2014.

Bagaimanapun, Messi dan rakan-rakannya terpaksa akur dengan gelaran naib juara ekoran Argentina tumpas 0-1 kepada Jerman dalam perlawanan akhir tersebut.

Sebagai rekod, hasil penampilannya di empat edisi Piala Dunia sebelum ini, Messi telah merekodkan 19 penampilan, menjaringkan 6 gol serta mencipta 5 assist.

Featured Image: AFA – Seleccion Argentina

Komen