Bajet 2023: RM145 Juta Untuk Penyelengaraan, Naik Taraf & Pembinaan Kemudahan Sukan – Kurang 9% Berbanding Tahun Lalu
October 7, 2022 Hafizuddin Omar

Menteri Kewangan Malaysia, YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz mengumumkan sebanyak RM145 juta diperuntukkan untuk menyelenggara, naik taraf dan pembinaan kemudahan sukan di seluruh negara.

Makluman tersebut diumumkannya dalam sesi pembentangan Bajet 2023 yang bertemakan Keluarga Malaysia Makmur Bersama di Dewan Rakyat, pada hari ini.

Sebagai perbandingan, Bajet 2022 lalu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM159 juta bagi membina, menaik taraf dan menyelenggarakan kemudahan sukan di seluruh negara. Ini menjadikan peruntukan bagi perkara ini berkurang menghampiri 9% berbanding peruntukan yang diumumkan pada tahun lalu.

Untuk makluman semua, bajet pada tahun ini merupakan yang terbesar dalam sejarah dimana ianya berjumlah RM372.3 bilion secara keseluruhan. Ianya merupakan peningkatan sekitar 12% berbanding bajet pada tahun lalu.

Daripada jumlah terbabit, sejumlah RM272.3 bilion disalurkan kepada perbelanjaan mengurus manakala RM95 bilion pula diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan.

Komen