Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz berkongsikan hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi menunjukkan satu daripada dua orang dewasa di negara ini mempunyai berat badan berlebihan.
Selain itu, Malaysia juga menjadi juara sebagai negara paling obes di asia tenggara dan ini merupakan satu isu kesihatan awam yang perlu diambil berat.
Oleh demikian, di dalam pembentangan Bajet 2023 yang bertemakan Keluarga Malaysia Makmur Bersama, Zafrul mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk Agenda Nasional Malaysia (ANMS). Ianya bagi memupuk gaya hidup sihat sekaligus mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit dalam kalangan rakyat dalam negara ini.
Untuk makluman semua, ANMS telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 7 Ogos 2020 merupakan tawaran baharu (new deal) kerajaan yang bertujuan menjadikan rakyat Malaysia Sihat Sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat.
ANMS menggunakan pendekatan Whole of Nation iaitu penglibatan secara menyeluruh agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Swasta serta rakyat bagi memastikan pelaksanaannya adalah secara menyeluruh.
Sebagai tambahan, ANMS meletakkan peningkatan taraf kesihatan rakyat Malaysia sebagai keutamaan melalui amalan hidup sihat seperti makan secara sihat dan selamat, tidak merokok, minda sihat, hidup aktif serta kebersihan diri dan kebersihan persekitaran.
Pada masa yang sama, kerajaan turut menyediakan sebanyak RM10 juta bagi meneruskan Hari Sukan Negara dan Jelajah Fit Malaysia.