Malaysia mengesahkan kemaraan ke saingan Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) pada tahun hadapan apabila berhasil menamatkan kempen kelayakan selaku juara Kumpulan B.
Kejuaraan itu muncul apabila skuad kendalian Osmera Omaro ini berjaya menundukkan tuan rumah merangkap musuh tradisi, Indonesia dengan jaringan besar 5-1 dalam perlawanan terakhir di Stadium Pakansari, Bogor, sebentar tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan Malaysia mengumpul 10 mata selepas mengharungi 4 perlawanan sekaligus memintas kedudukan Indonesia untuk merangkul gelaran juara bagi Kumpulan B.
Terlebih dahulu, skuad negara yang terdiri daripada majoriti pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) serta dua orang pemain Johor Darul Ta’zim (JDT B-16) ini meraih kemenangan ke atas Palestin (2-0) dan Emiriah Arab Bersatu (3-2) serta seri dengan Guam (1-1).
Keputusan Masa Penuh
Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia B-17 2023
INDONESIA 🇮🇩 1-5 🇲🇾 MALAYSIA
⚽️ Arkhan Kaka Putra 90'+3'
⚽️ Zainurhakimi Zain 17' Arami Wafiy 20' 38' (P) Anjasmirza 23' Afiq Danish Z. 26'#FAM #HarimauMalaya #AFCU17 pic.twitter.com/5nEhmVBov5— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) October 9, 2022
Untuk makluman semua, hos serta 10 juara kumpulan bagi peringkat kelayakan mara secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-17. Menemani 11 pasukan ini adalah 5 naib juara kumpulan terbaik.
Selain Malaysia, Jepun (Kumpulan A), Qatar (Kumpulan C), Iran (Kumpulan I), Uzbekistan (Kumpulan J), Australia (Kumpulan G) dan Vietnam (Kumpulan F) turut disahkan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-17 ini setelah muncul juara bagi kumpulan masing-masing.
Sementara itu, Indonesia pula terpaksa akur menamatkan saingan kelayakan ini selaku naib juara Kumpulan B walaupun menampilkan aksi cemerlang, melakar tiga kemenangan berturut-turut sebelum bertemu Malaysia.
Namun begitu, Indonesia memiliki 6 mata selepas ditolak 3 mata menentang pasukan di tangga tercorot Kumpulan B, Guam, (format untuk memilih naib juara terbaik), berkemungkinan besar dapat menempatkan diri dalam kelompok yang dapat melayakkan diri ke pusingan akhir.
Featured Image: Football Association of Malaysia