Google, Tottenham Hotspur Sedang Dalam Perbincangan Hak Nama Stadium
October 11, 2022 Hafizuddin Omar

Stadium serba baharu milik Tottenham Hotspur yang dibuka semula pada tahun 2019 dengan kapasiti 62,850 tempat duduk berkemungkinan akan mendapat nama baharu kelak.

Ini selepas kelab yang dibimbing oleh Antonio Conte ini sedang dalam perbincangan dengan syarikat gergasi teknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Google, lapor The Athletic.

Akhir-akhir ini, Google yang cukup terkenal dengan penawaran enjin pencarian di internet tidak asing lagi dengan kerjasama atau penajaan dalam arena sukan.

Sekitar Mac lalu, Google telah membentuk ikatan penajaan berbilang tahun dengan pasukan Formula 1 (F1), McLaren Racing dan McLaren MX Extreme E Team.

Selain itu, Google turut mempunyai perjanjian komersil bersama Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA) yang menjadikan telefon pintarnya, Pixel sebagai telefon rasmi penyokong bagi saingan NBA, Liga NBA G dan Liga NBA 2K.

Tidak ketinggalan, Google juga membentuk kolaborasi berbilang tahun dengan Liga Utama Besbol (MLB) di Amerika Syarikat sekitar Mac 2020. Hasil kolaborasi ini, Google diangkat sebagai Official Cloud Partner and Official Cloud Data and Analytics Partner of MLB.

Untuk makluman semua, Pengerusi Tottenham Hotspur, Daniel Levy pernah mengesahkan minat untuk mendapatkan perjanjian hak nama bagi stadium baharu Tottenham Hotspur pada tahun 2019. Bagaimanapun, perjanjian tersebut mestilah berdasarkan jenama yang sesuai serta atas nilai yang sesuai (right brand, on the right money).

Komen