Kelayakan Piala Asia B-17: Bekas Ketua Jurulatih Harimau Muda Lepasi Tugasan Pertama Bersama Australia
October 11, 2022 Hafizuddin Omar

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) atau Harimau Muda, Brad Maloney berhasil melepasi tugasan pertama bersama pasukan negaranya, Australia B-17 dengan cemerlang.

Brad yang diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu skuad berjulukan The Joey’s sekitar awal Ogos lalu berhasil membimbing Australia menjuarai saingan Kelayakan Piala Asia B-17 bagi peringkat Kumpulan G.

Beraksi di negaranya sendiri selaku hos bagi Kumpulan G, Australia berjaya merekodkan 100% kemenangan dalam kesemua perlawanan dengan menumpaskan Northern Mariana Islands (23-0), Kemboja (10-0) dan China (3-1).

Kemenangan tersebut membolehkan mereka mengutip 9 mata untuk menjuarai saingan Kumpulan G sekaligus mara ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2023.

Australia menyertai 15 lagi pasukan lain yang layak iaitu Jepun, Malaysia, Qatar, Arab Saudi, Yaman, Vietnam, Tajikistan, Iran, Uzbekistan, Republik Korea, China, Afghanistan, India, Thailand dan Laos.

Sebagai tambahan, ini merupakan tugasan pertama Brad bersama skuad bola sepak negara kelahirannya selepas lapan tahun menabur bakti bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Featured Image: Football Australia  

Komen