Arena sukan tempatan akan diserikan dengan satu kejohanan bola tampar, sooka Super Series Volleyball (SSSVB) yang akan berlangsung di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam, Selangor bermula 14 Oktober hingga 6 November 2022.
Saingan ini akan disertai sebanyak lapan buah pasukan, iaitu, SAC Selangor Lions, Melaka Mousedeer, Kuala Lumpur Shark, Sarawak Hornbill, ATM Gladiators, Sabah Rhino, Johor Tiger termasuk sebuah pasukan jemputan antarabangsa, Amelia Indonesia bagi merebut kejuaraan edisi sulung ini.
Kejohanan ini tampil dengan format perlawanan kumpulan dan kalah mati bermula peringkat separuh akhir.
Bagi peminat sukan bola tampar, kejohanan ini dapat disaksikan secara langsung di venue berkenaan dengan membeli tiket di laman tickethotline serta menonton siaran langsung menerusi aplikasi penstriman, sooka dan saluran Astro Arena secara percuma.
Untuk makluman semua, kejohanan ini merupakan hasil kerjasama antara Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) dan Astro Arena.
Selain itu, saingan ini turut mengangkat jenama pakaian tempatan, Elite sebagai Penaja Pakaian Rasmi, TikTok sebagai Rakan Media Rasmi, Flash Sukan sebagai Rakan Media Digital Rasmi serta radio nombor satu Malaysia, Era sebagai saluran Radio Rasmi bagi kejohanan kali ini.
Sebelum ini, Astro Arena turut terlibat bekerjasama dengan Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menganjurkan Netball Super League (NSL) dan Sepak Takraw League (STL) masing-masing sekaligus memberikan nafas baharu kepada penganjuran sukan-sukan ini.