Pasukan bola sepak amatur yang beraksi dalam kancah Liga M3, Real Chukai FC akan terus memperagakan dan menyarung jersi perlawanan, latihan mahupun pakaian perjalanan berjenama tempatan, Voltra sehingga akhir musim 2024.
Ini selepas kedua-dua entiti tersebut telah mengumumkan bersetuju untuk melanjutkan kerjasama menerusi satu perjanjian baharu bagi sepertimana dimaklumkan menerusi satu kenyataan media yang diedarkan, pada hari ini.
Jumlah penajaan pada kali ini tidak didedahkan oleh kedua-dua pihak namun kontrak perjanjian selama setahun yang ditandatangani pada 2021 lalu dilaporkan bernilai kira-kira RM50,000.
Penajaan ini turut mengangkat Voltra selaku Rakan Kongsi Pakaian Teknikal Rasmi bagi skuad berjulukan The Anchor ini. Peranan ini digunakan oleh Voltra untuk mengetengahkan skuad lelaki dan akademi serta kakitangan kejurulatihan kelab.
Melalui perjanjian ini juga, Real Chukai akan meningkatkan tumpuan mereka kepada akademi akar umbi kelab yang dijangka berkembang dengan lebih baik.
Sebagai tambahan, perjanjian lanjutan ini akan menyaksikan Voltra akan bekerjasama dengan Real Chukai dalam penyelidikan dan pembangunan bahan dan reka bentuk, serta pemilihan barangan pakaian berkonsepkan “streetwear” untuk peminat Real Chukai.
Sebagai rekod, kedua-dua entiti ini mula mengumumkan kerjasama bermula Mei tahun lalu.