Artikel

Slot Piala AFC: Jaringan Saat Akhir Park Tae-su Pastikan Sabah Kekal Di Tangga Ke-2

Sabah FC yang dikendalikan oleh Datuk Ong Kim Swee berjaya memastikan kedudukan tangga kedua Liga Super kekal menjadi miliknya dengan mengumpul 42 mata setelah mengharungi 21 perlawanan.

Ini selepas pertahanan importnya, Park Tae-su berjaya menjaringkan gol kemenangan pada saat-saat akhir permainan ketika bertemu Sri Pahang sebentar tadi sekaligus menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-1.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan terikat tanpa sebarang jaringan dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan. 

Jaringan pembukaan hanya hadir pada minit ke-86 menerusi penyerang tuan rumah, Stiven Rodriguez. Bagaimanapun gol pembukaan itu dengan pantasnya berjaya disamakan pasukan pelawat menerusi pertahanan, Dominic Tan pada minit ke-89.

Sementara itu, di tempat ketiga pula, ianya turut kekal diduduki oleh Terengganu FC. 

Skuad berpangkalan di pantai timur ini kekal di kedudukan terbabit apabila merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Terengganu mencatatkan kemenangan tersebut hasil gol yang dijaringkan oleh Manuel Ott serta Tchetche Kipre. Manakala jaringan oleh KL City pula disumbangkan oleh Romel Morales.

Mereka kekal di tangga ketiga dengan mengumpul 41 mata daripada 21 perlawanan. Walaupun mempunyai pungutan mata yang sama dengan Negeri Sembilan, Terengganu menduduki tempat ketiga atas faktor mempunyai kelebihan daripada segi bilangan perbezaan gol.

Untuk makluman, slot Piala AFC pada musim hadapan akan diberikan kepada pasukan yang menamatkan saingan liga di tempat kedua serta juara Piala Malaysia selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul kejuaraan berganda, Piala FA dan Liga Super.

Sekiranya pasukan yang sama menjuarai saingan Piala Malaysia, slot itu akan diberikan kepada penghuni tangga ketiga Liga Super.

Featured Image: Malaysian Football League

komen