Final Piala AFC: KL City vs Al-Seeb Berlangsung Di Stadium Nasional Bukit Jalil
October 12, 2022 Hafizuddin Omar

Kuala Lumpur City FC (KL City) tidak dapat beraksi di laman sendiri apabila bertemu kelab Oman, Al-Seeb dalam perlawanan akhir Piala AFC pada 22 Oktober kelak.

Sebaliknya kedua-dua pasukan akan turun berentap bagi merebut gelaran juara Piala AFC musim ini di gelanggang berkapasiti sekitar 87,000 tempat duduk iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Perkara tersebut disahkan oleh pengendali KL City, Bojan Hodak dengan alasan ianya terpaksa dibuat atas faktor penganjur mahu menggunakan video assistant referee (VAR) serta ketetapan untuk mempunyai tahap kecerahan 1800 lux di dalam stadium.   

“Ya, kerana mereka perlu menggunakan VAR (dan) perlu mempunyai 1800 lux untuk kecerahan yang mana stadium ini (Stadium Cheras) tidak miliki, (perubahan) ini disebabkan isu teknikal.

“Kesemua pemain dan (barisan) kejurulatihan mahu bermain di Cheras, kerana kami sudah biasa dengan stadium ini, tetapi disebabkan isu teknikal kami tak dapat bermain di Cheras.” katanya dalam sidang media selepas perlawanan menentang Terengganu FC, malam tadi.

Untuk makluman semua, skuad ibu kota berhasil menempah kemaraan ke perlawanan akhir saingan divisyen kedua peringkat asia ini setelah berjaya menumpaskan kelab Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir antara zon pada pertengahan minggu lalu.

Sementara itu, lawannya pula, Al-Seeb mara apabila mengetepikan cabaran kelab Bahrain, Al-Riffa dengan keputusan 4-0 dalam perlawanan akhir peringkat zon barat.

Featured Image: Perbadanan Stadium Malaysia

Komen