Hasil undian awal menyaksikan pasukan di tangga ketiga Liga Super akan bertemu lawan yang sedikit mudah iaitu UiTM FC daripada saingan Liga Premier pada peringkat Pusingan 16, saingan Piala Malaysia 2022.
Berbeza pula bagi pasukan yang muncul naib juara Liga Super musim ini. Lawan yang lebih sukar perlu dihadapi dengan diundi menentang pasukan yang menamatkan saingan liga di tempat ketujuh – berkemungkinan besar samada Selangor, Kuala Lumpur City, Kedah Darul Aman atau Sri Pahang.
Namun begitu, tiada sebarang percaturan mahu dilakukan oleh pengendali Terengganu, Nafuzi Zain bagi menamatkan saingan di tempat kedua atau ketiga supaya mendapat lawan yang lebih mudah dalam saingan Piala Malaysia kelak.
Di dalam benak fikiran jurulatih berusia 43 tahun ini, layak ke saingan Piala AFC pada musim hadapan – dengan menamatkan saingan liga di tempat kedua – menjadi fokus utamanya bersama skuad Hitam Putih pada musim ini.
“Saya tak kisah pun mana-mana diletakkan dalam (saingan) Piala Malaysia, yang penting sasaran saya untuk layak ke Piala AFC,”
“Bagi saya, kalau kita layak ke Piala AFC, itu satu kejayaan untuk Terengganu, jadi, kita fokus di sini dahulu.”
“Benda itu (lawan bagi Piala Malaysia) kita (fikir) di kemudian hari,”
“Tetapi, di sini adalah peluang kita, lebih baik kita ambil peluang yang kita ada sekarang daripada memikirkan benda yang belum kita ketahui lagi.” katanya dalam sidang media selepas perlawanan menentang Kuala Lumpur City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.
Dalam perlawanan tersebut, Terengganu berjaya menumpaskan tuan rumah dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Manuel Ott dan Tchetche Kipre. Jaringan saguhati tuan rumah pula hadir melalui Romel Morales.
Kemenangan itu mengekalkan Terengganu di tangga ketiga Liga Super selepas mengharungi 21 perlawanan. Sabah pula kekal di tangga kedua selepas berhasil mengejutkan Sri Pahang dengan keputusan 2-1 pada saat-saat akhir di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Mengekori rapat kedua-dua pasukan ini adalah Negeri Sembilan yang dibimbing oleh K. Devan. Semalam, skuad Hoben Jang Hoben ini turut meraih kemenangan 2-0 ke atas Melaka United di laman sendiri, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Untuk makluman semua, perlawanan terakhir Liga Super nanti menyaksikan Sabah akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim bertemu juara, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Manakala Terengganu pula akan membuat perhitungan dengan Kedah Darul Aman di Stadium Darul Aman, Alor Setar. Akhir sekali, Negeri Sembilan pula turun ke Stadium Darul Makmur, Kuantan untuk berentap dengan Sri Pahang.
Pada saat ini, Sabah berada di tangga kedua liga dengan 42 mata, diikuti Terengganu dan Negeri Sembilan di tangga ketiga dan keempat masing-masing dengan 41 mata.
Pasukan manakah yang akan menamatkan saingan di tempat kedua Liga Super musim ini sekaligus meraih slot ke saingan Piala AFC musim hadapan? Pada masa yang sama, bagaimanakah kedudukan akhir Liga Super ini akan membentuk pertemuan pasukan-pasukan dalam saingan Piala Malaysia kelak?
Menarik untuk semua peminat bola sepak tempatan saksikan.