Melaka United dan Sarawak United gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi membolehkan mereka bertanding dalam saingan Liga Super 2023.
Perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi First Instance Body (FIB) – badan bebas yang dilantik oleh Malaysian Football League (MFL), Sheikh Mohd Nasir dalam satu sidang media di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya, hari ini.
Menurutnya, Melaka United gagal mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos 2022 serta tidak menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11.
10 pasukan yang bertanding dalam Liga Super 2022 telah berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan sekali gus melayakkan mereka bertanding dalam saingan Liga Super 2023.#LigaSuper2023 #MFL
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 12, 2022
Sementara itu, Sarawak United pula gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan serta mempunyai dua kes FIFA melibatkan dua bekas pemainnya iaitu Sandro Da Silva Mendonca dan Taylor Francis George Regan.
Bagaimanapun, Melaka United dan Sarawak United diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan sebelum 19 Oktober 2022 (jam 5 petang) – 7 hari – terhadap keputusan FIB ini.
Manakala baki 10 pasukan Liga Super 2022 yang lain iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman, Negeri Sembilan, Penang, PJ City, Sri Pahang, Selangor, Terengganu, Kuala Lumpur City dan Sabah serta 6 pasukan Liga Premier 2022, Kelantan, Kuching City, Kelantan United, Perak, PDRM dan UiTM berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan sekaligus dibenarkan bertanding dalam saingan Liga Super 2023.