Kelab yang dimiliki oleh syarikat telekomunikasi, XOX Berhad iaitu Perak FC mengumumkan satu kerjasama dengan pasukan yang beraksi dalam kancah utama bola sepak Jerman, VfL Wolfsburg, semalam.
Kedua-dua kelab telah menandatangani satu perjanjian untuk menubuhkan jawatankuasa eksekutif yang berfungsi untuk membina rangka kerja perkongsian sukan komersil dan profesional antara kedua-dua pihak.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kerjasama antara skuad berjulukan The Bos Gaurus dan The Wolves ini akan bertumpu kepada tiga bidang utama iaitu pembangunan belia, pemindahan teknologi dan peluang perniagaan.
Selain itu, kerjasama ini juga dibentuk untuk menyediakan rangka kerja yang sesuai untuk mengambil pemain muda di bawah 18 tahun, dan melatih mereka untuk menjadi atlet profesional.
Untuk pengetahuan semua, Wolfsburg telah memilih Kuala Lumpur ibu pejabatnya di rantau asia tenggara bagi meneroka peluang untuk membina pangkalan peminatnya di luar Jerman sejak tahun 2016.
Sebagai tambahan, Wolfsburg merupakan kelab bola sepak yang dimiliki dan ditaja sepenuhnya oleh Volkswagen AG – sebuah konglomerat automotif nasional yang mempunyai pelbagai jenama di bawahnya seperti Porsche, Bugatti, Ducati dan Lamborghini dengan 650,000 pekerja di seluruh dunia.