PBSNT Memperkemaskan Saingan Liga Semi-Pro TFL & Perkenal Kejohanan Bawah Umur
October 13, 2022 Hafizuddin Omar

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) semakin menumpukan kepada kerja-kerja menganjurkan kejohanan bola sepak terutamanya di peringkat bawahan dan akar umbi sesuai dengan peranannya selaku badan induk bola sepak bagi negeri Terengganu.

Selepas memperkenalkan dan menganjurkan liga bola sepak semi-profesional (semi-pro) yang diberikan nama Terengganu Football League (TFL) julung kalinya pada tahun ini, PBSNT memaklumkan akan memperkemaskan lagi penganjurannya pada tahun hadapan.

Saingan TFL 2022 disertai oleh 8 buah pasukan dengan format liga satu pusingan. Empat pasukan terbaik liga akan layak untuk beraksi dalam saingan Piala TFL. Bagaimanapun, perkembangan baharu menyaksikan saingan ini akan hadir dengan dua divisyen, TFL Super League dan TFL Premier League pada tahun 2023 kelak.

Selain itu, PBSNT turut mengumumkan pengenalan saingan bola sepak bawah umur yang membabitkan kategori umur bawah 16 tahun (B16) dan bawah 12 tahun (B12). Kedua-dua saingan ini diberikan nama TFL B16 dan TFL B12. 

Kejohanan-kejohanan ini berperanan sebagai landasan terbaik kepada asas pembangunan bakat bukan sahaja buat para pemain bahkan kepada organisasi kelab-kelab yang bertanding termasuk para pegawai serta penggiat sukan di negeri Terengganu.

Dalam makluman yang sama, PBSNT akan memperkenalkan Anugerah Bolasepak Terengganu (ABT) bermula tahun 2023 untuk menghargai penggiat dan keluarga sukan bola sepak melibatkan pelbagai kategori.

Kesemua ini dicapai dalam satu Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PBSNT yang dipengerusikan presidennya merangkap Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan dihadiri oleh semua Ahli Jawatankuasa (AJK) PBSNT pada Isnin lalu di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu.

Komen