Liga Super 30 Perlawanan Semusim Jika Rayuan Melaka United & Sarawak United Gagal
October 13, 2022 Hafizuddin Omar

Kelab-kelab yang beraksi dalam kancah Liga Super musim 2023 akan menghadapi 30 perlawanan semusim sekiranya Melaka United dan Sarawak United gagal dalam rayuan terhadap keputusan First Instance Body (FIB) yang menolak permohonan Lesen Kebangsaan mereka.

Kegagalan rayuan itu akan menyebabkan kedua-dua pasukan kekal tidak mendapat Lesen Kebangsaan sekaligus mengekang mereka daripada beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam turut mengesahkan saingan Liga Super akan diteruskan dengan penyertaan 16 buah pasukan sekiranya Melaka United dan Sarawak United gagal dalam rayuan tersebut.

Untuk makluman semua, saingan Liga Super 2023 sepatutnya disertai oleh 18 buah pasukan sepertimana diumumkan oleh MFL pada penghujung Julai lalu.

Pembabitan 18 buah pasukan itu hasil penstrukturan baharu yang menggabungkan 12 kelab Liga Super dengan 6 kelab Liga Premier musim ini. Jumlah pembabitan kelab sebanyak itu menjadikan kelab-kelab perlu mengharungi 34 perlawanan semusim – perbezaan sebanyak 4 perlawanan.

Sebagai perbandingan, dengan penyertaan 16 buah pasukan, kelab-kelab Liga Super musim ini akan menghadapi pertambahan sebanyak 8 perlawanan pada musim hadapan. 

Manakala kelab-kelab Liga Premier musim ini seperti Kelantan, Kuching City, PDRM dan lain-lain yang mengharungi 18 perlawanan pada musim ini akan merasai pertambahan sebanyak 12 perlawanan.

Sebagai tambahan, antara kancah bola sepak utama di rantau asia tenggara yang turut sama mempunyai 16 pasukan dan mengharungi 30 perlawanan semusim ialah Thai League 1.

Komen