Legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei menjadi atlet pertama negara mempunyai figura lilin ditempatkan di muzium lilin yang cukup terkenal, Madame Tussauds di Singapura.
Figura bekas pemain perseorangan lelaki No.1 dunia selama 348 minggu itu menjadi penambahan terbaru di dewan kemasyhuran muzim berkenaan disamping atlet terkenal lain seperti Muhammad Ali, Cristiano Ronaldo, David Beckham, Serena Williams dan lain-lain lagi.
Majlis pelancaran yang berlangsung pada hari ini memperlihatkan figura Chong Wei yang cukup sempurna mengenakan jersi pada tahun 2016 – turut disarungnya ketika beraksi di Sukan Olimpik Rio – sambil memegang raket di tangan kanannya.
Bagi para peminat yang mahu menyaksikan figura lilin Chong Wei ini boleh berbuat demikian dalam masa yang terdekat dengan menempah tiket di laman sesawang milik muzium berkenaan.
Ini kerana figura tersebut tidak akan berada lama di Madame Tussauds Singapura. Pada suku pertama 2023, ianya akan diterbangkan dan ditempatkan di Madame Tussauds Hong Kong secara kekal.
Untuk makluman, Madame Tussauds Hong Kong telah mengumumkan untuk mengabadikan Chong Wei dalam bentuk figura lilin di muzium berkenaan pada tahun 2020. Satu pasukan Madame Tussauds telah ditugaskan untuk mengambil 200 ukuran keseluruhan badan Chong Wei dengan teliti pada tahun 2019.
Featured Image: Madame Tussauds Singapore