Atlet berdarah kacukan berpangkalan di luar negara bakal dipertimbangkan untuk mewakili kontinjen Malaysia di temasya terulung dunia, Sukan Olimpik Paris 2024 kelak.
Bagaimanapun, berdarah kacukan bukanlah satu-satunya kriteria yang boleh dipertimbangkan untuk menyertai kontinjen negara. Ianya mestilah disulami dengan mempunyai keupayaan untuk menjadi pesaing di peringkat antarabangsa.
Memetik laporan Bernama, Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Program “Gold Paris 2024”, Tan Sri Dr. Mohammad Norza Zakaria mengesahkan perkara berkenaan selepas membincangkannya dalam satu mesyuarat jawatankuasa tersebut, baru-baru ini.
“Jawatankuasa akan mengambil pendekatan terbuka, dalam kemungkinan mengenal pasti atlet yang berpangkalan di luar negara yang mempunyai pertalian keluarga dan asal usul dari Malaysia, yang mempunyai prestasi terkini selaku pesaing di peringkat dunia,” katanya.
Penggunaan khidmat atlet berdarah kacukan atau berdarah warisan sebegini sudah digunakan dalam sukan bola sepak. Sebagai contoh, Brendan Gan, Matthew Davies dan La’vere Corbin-Ong yang merupakan pemain kacukan sudah lama menabur bakti bersama skuad kebangsaan yang berjulukan Harimau Malaya.
Pada masa yang sama, Norza yang juga merupakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut memaklumkan jawatankuasa telah membuat keputusan untuk memperketatkan pemilihan atlet ke temasya terbabit.
Antara kriteria pemilihan tersebut adalah mereka yang pernah memenangi pingat di temasya Sukan Olimpik edisi lalu dan menduduki kelompok ranking 10 terbaik dunia dalam sukan masing-masing.
Tambahnya lagi, meraih pingat di temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia turut menjadi asas pemilihan selain memiliki prestasi terkini yang meyakinkan. Kesemua ini bagi berupaya untuk menjelmakan kilauan pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024 kelak.