JDT Juarai Liga Super Selaku ‘The Invincible’ Buat Kali Ketiga
October 15, 2022 Hafizuddin Omar

Gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah pun mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut pada 1 Oktober lalu ketika saingan masih lagi berbaki empat perlawanan pada ketika itu.

Lebih menarik, skuad berjulukan Harimau Selatan ini turut berjaya mengiringi kejuaraan Liga Super dengan gelaran “The Invincible” atau tanpa kalah dalam 22 perlawanan sepanjang musim ini.

Skuad bimbingan oleh Hector Bidoglio mengesahkan gelaran tersebut apabila menumpaskan pelawat, Sabah FC dengan keputusan 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dalam perlawanan terakhir liga, sebentar tadi.

Keputusan itu menjadikan JDT mengharungi kempen musim ini dengan rekod 17 kemenangan dan 5 seri. Selain itu, jumlah kemenangan dan seri ini membolehkan JDT memungut 56 mata secara keseluruhan.

Untuk makluman, ini merupakan kali ketiga dalam sejarah sejak JDT pimpinan DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) berjaya menjuarai liga tertinggi bola sepak tanah air dengan gelaran “ The Invincible” selepas tahun 2016 dan 2020.

Sebagai perbandingan, kempen Liga Super 2016 yang dianggap sebagai paling cemerlang sejak penubuhan JDT merperlihatkan catatan rekod 18 kemenangan serta 4 keputusan seri sekaligus memungut 58 mata secara keseluruhan.

Manakala semasa menjuarai kempen Liga Super 2020 yang berlangsung secara satu pusingan, JDT merekodkan 9 kemenangan dan 2 seri secara keseluruhan.

Featured Image: JOHOR Southern Tiger

Komen