Terengganu Muncul Naib Juara Liga Super Selepas 11 Tahun, Raih Slot Piala AFC
October 15, 2022 Hafizuddin Omar

Skuad berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air, Terengganu FC berhasil meraih gelaran naib juara Liga Super 2022. 

Ianya hadir selepas skuad Hitam Putih ini menumpaskan Kedah Darul Aman pada perlawanan terakhir liga di Stadium Darul Aman, Alor Setar, sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Terengganu kendalian Nafuzi Zain meraih kemenangan dengan keputusan 3-1 hasil jaringan berganda Tchetche Kipre dan Faisal Halim.

Sementara itu, jaringan tunggal dan saguhati oleh skuad Sang Kenari pula disumbangkan oleh Dechi Marcel.

Pada masa yang sama, kedudukan itu diraih apabila penghuni tangga kedua Liga Super sebelum ini, Sabah FC bimbingan Datuk Ong Kim Swee pula jatuh ke tangga ketiga. 

Ini disebabkan skuad berjulukan “The Rhinos” tumpas kepada sang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 0-3 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.

Gelaran naib juara itu turut menghadiahkan Terengganu slot ke kancah kedua tertinggi bola sepak asia iaitu Piala AFC bagi musim 2023-24 secara automatik.

Untuk pengetahuan semua, ini juga merupakan kali pertama Terengganu kembali muncul naib juara Liga Super selepas 11 tahun.

Kali terakhir mereka muncul naib juara adalah ketika mendapat bimbingan Irfan Bakti dalam saingan Liga Super 2011.

Sebagai rekod, Terengganu menutup saingan liga musim ini dengan pungutan 44 mata hasil daripada 14 kemenangan, 2 seri dan 6 kekalahan.  

Featured Image: Kedah Darul Aman

Komen