Penyokong Gerakkan Kempen #NafuziStay Setelah Layak Ke Saingan Piala AFC 2023-24
October 16, 2022 Hafizuddin Omar

Tanda pagar (hashtag) #NafuziStay bagi mengekalkan ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain bertebaran di alam maya terutamanya di platform media sosial yang cukup sinonim digunakan oleh rakyat Malaysia iaitu Facebook, Twitter, Tiktok serta Instagram.

Berdasarkan tinjauan, tanda pagar ini telah digerakkan sebahagian penyokong Terengganu FC beberapa minggu lalu namun ianya semakin rancak bermula malam tadi sejurus Terengganu muncul naib juara Liga Super sekaligus diberikan slot automatik ke saingan Piala AFC 2023-24.

Tambahan pula, di mata para penyokong, Terengganu bimbingan Nafuzi turut mempersembahkan statistik yang tidak kurang cemerlangnya seperti menjaringkan 39 gol dan bolos 20 gol – merupakan kedua tertinggi dan terendah masing-masing selepas Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selain itu, kecemerlangan Nafuzi turut terselah dengan membimbing Terengganu merekodkan sembilan kemenangan liga berturut-turut (winning streak) sejak pertengahan Ogos lalu.

Tidak dilupakan Nafuzi turut memimpin Terengganu mara ke perlawanan akhir Piala FA pada awal September lalu dan muncul naib juara dalam saingan kalah mati tersebut.

Sebagai rekod, ini juga merupakan pentas perlawanan akhir bagi kejohanan berpiala yang pertama buat Terengganu selepas empat tahun.

Bukan sahaja para penyokong, beberapa Facebook Pages serta akaun Twitter penyokong dan peminat tegar skuad Hitam Putih ini turut senada dan menyokong tanda pagar dan kempen ini. 

Difahamkan, kempen ini dijalankan sebagai satu isyarat sokongan penyokong kepada Nafuzi supaya pihak pengurusan skuad berpangkalan di pantai timur itu memberikan lanjutan kontrak kepada jurulatih berusia 43 tahun ini dengan segera. 

Untuk makluman, kontrak Nafuzi diumumkan dilanjutkan selama semusim pada penghujung tahun lalu dan ianya akan berakhir pada 30 November kelak.

Dalam satu laporan media tempatan, Menteri Besar Terengganu merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata status Nafuzi samada kekal atau sebaliknya akan dibincang serta diputuskan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) Terengganu FC.

Keputusan samada kekal atau sebaliknya akan diketahui selepas perayaan Deepavali kelak.

Featured Image: Terengganu Football Club

Komen