Artikel

Tickethotline Buka Jualan Tiket Final Piala AFC – RM30 Untuk General

Laman penjualan tiket secara atas talian, Tickethotline mula membuka jualan tiket bagi perlawanan akhir Piala AFC 2022 yang menemukan Kuala Lumpur City FC (KL City) dengan kelab Oman, Al-Seeb pada 22 Oktober (Sabtu) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Berdasarkan tinjauan, terdapat dua kategori jualan dibuka iaitu bagi penyokong tuan rumah, KL City serta penyokong pihak lawan yang terhad kepada penyokong Al-Seeb sahaja.

Untuk penyokong KL City, hanya satu pilihan sahaja yang tertera untuk dibeli iaitu General Home Tickets (masuk melalui Gate C) – berharga RM30 sekeping termasuk caj pemprosesan dan fi yang berkaitan.

Menurut makluman rasmi KL City, RM30 tersebut merupakan harga “early bird” bermula Isnin hingga Rabu (17-19 Oktober) sahaja.

Bagi yang ingin membeli tiket berkenaan, perlu membuka akaun di laman Tickethotline. Setiap satu akaun hanya boleh membuat satu transaksi pembelian yang terhad kepada empat keping tiket sahaja.

Pihak Tickethotline turut memaklumkan, pembeli yang membeli lebih daripada sekeping tiket hendaklah mengisi butiran pemilik tiket yang selebihnya.

Untuk pengetahuan semua, sepak mula bagi perlawanan akhir kejohanan kedua tertinggi peringkat asia ini dijadualkan pada 7 malam waktu Malaysia.

Sebagai tambahan, selain dapat menjulang trofi kejuaraan, pemenang kejohanan ini akan turut membawa pulang 1.5 juta dolar amerika wang ganjaran serta dapat slot play-off ke saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim hadapan.

komen