Kejohanan Piala AFF 2022 bakal menjadi pentas terakhir buat skuad kebangsaan Vietnam bersama ketua jurulatihnya dari Republik Korea, Park Hang-seo.
Ini berikutan Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) mengumumkan mencapai kata sepakat (mutual agreement) bersama Park untuk menamatkan kerjasama setelah berakhirnya kontrak pada 31 Januari 2023 kelak.
Perkembangan penuh mengejutkan itu diumumkan oleh VFF menerusi satu kenyataan media yang turut dikongsikan di laman sosialnya, pada hari ini.
Untuk makluman semua, Park mula bergelar ketua jurulatih skuad berjulukan Naga Emas ini bermula Oktober 2017. Selain daripada skuad senior, Park turut memegang jawatan ketua jurulatih bagi skuad bawah 23 tahun (B-23).
BREAKING!
VFF confirmed that Park Hang-Seo will leave the position as head coach of Vietnam's national team 🇻🇳 on 31/01/23!
Therefore, the AFF Cup 2022 will be his last tournament.Thank you Mr. Park for everything you've accomplished to Vietnam's football progress! 🇻🇳🇰🇷 pic.twitter.com/qJnvM18U1O
— Việt Nam Football 🇻🇳⚽️ (@FootyVietnam) October 17, 2022
Sejak itu, Vietnam mencapai pelbagai kejayaan termasuk memahat sejarah baharu dalam sejarah bola sepak mereka. Antaranya menjuarai Piala AFF yang pertama sejak 10 tahun, mara ke peringkat suku akhir Piala Asia serta pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia FIFA.
Bagi skuad B-23 pula, kehadiran Park telah membolehkan mereka meraih dua pingat emas Sukan SEA, naib juara Piala Asia B-23 serta meraih tempat keempat dalam temasya Sukan Asia 2018.
Tidak dilupakan, Park juga membawa Vietnam memasuki kelompok 100 pasukan terbaik dunia sejak tahun 2018. Mereka kekal berada di kelompok itu dengan menghuni tangga ke-96 dalam ranking FIFA pada saat ini.
Untuk pengetahuan semua, kejohanan terakhir Park bersama Vietnam dalam saingan Piala AFF kelak menyaksikan mereka bakal menghadapi Malaysia, Singapura, Myanmar dan Loas di peringkat Kumpulan B.
Featured Image: Football Association of Malaysia