Trofi kejohanan bola sepak terulung di rantau asia tenggara, Piala AFF akan dibawa untuk dipertontonkan kepada khalayak ramai di Empire Shopping Gallery, Subang Jaya pada 22 Oktober nanti.
Kehadiran trofi yang pernah dijulang skuad Harimau Malaya pada tahun 2010 ini merupakan sebahagian daripada program anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) iaitu Jelajah Trofi Piala AFF Mitsubishi 2022.
Kehadiran trofi ini pada hari terbabit aku turut diserikan dengan pelbagai program seperti kuiz, persembahan tarian, persembahan bola sepak gaya bebas (freestyle), temu bual bersama legenda Harimau Malaya dan akhir sekali, sesi bergambar bersama trofi kepada orang ramai.
Berdasarkan kepada foto promosi jelajah ini, tiga legenda Harimau Malaya yang akan menyerikan program ini ialah Norshahrul Idlan Talaha, Mahali Jasuli dan Shahrom Kalam.
Program ini akan bermula pada jam 11 pagi dan tamat pada jam 5 petang. Manakala acara kemuncaknya akan bermula pada jam 2 petang.
Untuk makluman, AFF mengumumkan Jelajah Trofi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 ini pada September lalu dengan Thailand (24 September) menjadi destinasi pertama dan diikuti oleh Singapura (15 Oktober).