Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan sebuah stadium berkapasiti 10,000 tempat duduk miliknya akan dibina di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Malaysia iaitu Putrajaya – sekitar 30 kilometer (km) daripada ibu pejabatnya, AFC House di Bukit Jalil.
Pembinaan stadium tersebut hasil kolaborasi AFC dan badan induk bola sepak dunia, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Perkara ini disahkan sendiri oleh Presiden AFC, Sheikh Salman Bin Ibrahim Al Khalifa Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Mengulas dengan lebih lanjut mengenai stadium berkenaan, AFC memaklumkan ianya dibina di atas tanah berkeluasa 15.43 ekar, disertakan dengan satu grandstand, boulevard dan atrium untuk penonton, pejabat pentadbiran serta tempat letak kereta di bawah tanah.
Selain itu, AFC turut berkongsikan stadium itu mempunyai luas lantai yang dianggarkan 580,000 kaki persegi dan akan dilengkapi dengan padang berkualiti tinggi bergred FIFA.
Tidak dilupakan, stadium tersebut akan disertakan juga dengan kafeteria, tribun media, bilik pengulas media dan kolam air di hadapan pintu masuk utama.
Dimaklumkan stadium khusus untuk bola sepak ini akan didanai dengan bantuan program FIFA Forward. Manakala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kerajaan Malaysia pula akan menyumbang daripada segi sokongan logistik kepada projek ini.
✨ 𝙋𝙍𝙀𝙎𝙀𝙉𝙏𝙄𝙉𝙂 ✨
The AFC is building a new stadium in 🇲🇾 Putrajaya in collaboration with FIFA to leverage the strong momentum of Asian football. pic.twitter.com/KnRhQDgAie
— #AsianCup2023 (@afcasiancup) October 18, 2022
Featured Image: AFC