Terbuka Denmark: Aksi Pertama Pearly Selepas Kecederaan, Catat Kemenangan ‘Straight Set’
October 18, 2022 Hafizuddin Omar

Pemain beregu wanita negara, Pearly Tan yang mengalami kecederaan pada penghujung Ogos lalu dan terpaksa berehat panjang buat seketika waktu dapat beraksi semula di saingan Terbuka Denmark, pada hari ini.

Bergandingan bersama rakannya, Thinaah Muralitharan, pasangan yang menghuni ranking kesebelas dunia ini tiada masalah untuk menampilkan aksi cemerlang menumpaskan wakil Thailand, Supissara Paewsampran dan Puttita Supajirakul di Pusingan 32.

Dalam pertembungan yang berlangsung di Gelanggang 3, Pearly-Thinaah berhasil mencetak kemenangan secara “straight set” dengan skor 21-16 dan 21-14 dalam tempoh 34 minit permainan.

Kemenangan ini membolehkan pasangan wanita No.1 negara mara ke peringkat Pusingan 16 saingan bertaraf Jelajah Dunia Super 750 BWF yang akan berlangsung lusa (19 Oktober).

Di peringkat tersebut, mereka bakal berhadapan dengan cabaran samada daripada beregu No.2 dunia dari China, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan atau beregu Hong Kong, Yeung Nga Ting dan Yeung Pui Lam.

Untuk makluman semua, selepas menjalani imbasan magnetic resonance imaging (MRI) pada awal September lalu, Pearly bernasib baik tidak mengalami kecederaan melibatkan anterior cruciate ligament (ACL). Hanya kecederaan hamstring dan tendon lutut yang dialaminya.

Namun begitu, kecederaan tersebut tetap memerlukan Pearly berehat sekurang-kurangnya 4 hingga 6 minggu sekaligus mengganggu jadual latihannya bersama Thinaah sebelum daripada kejohanan ini.

Featured Image: Badminton Association of Thailand  

Komen