Saingan bola sepak negara seberang tambak, Liga Premier Singapura (SPL) berada dalam landasan mengimplementasi penggunaan video bantuan pengadil (VAR) bagi musim 2023 kelak.
Menurut makluman daripada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), proses implementasi VAR itu akan mengambil masa 12 hingga 18 bulan berdasarkan kepada Program Bantuan & Kelulusan Implementasi (IAAP) yang dibangungkan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Difahamkan, pihaknya sedang berada di tahap ketiga daripada keseluruhan lima tahap yang terkandung dalam IAAP. Tahap ketiga ini merupakan tumpuan kepada persiapan dan latihan buat para pegawai perlawanan dan teknologi VAR.
Sesi latihan ini sedang berjalan dengan baik dan pihaknya di dalam proses untuk menjadualkan lawatan untuk para pegawai FIFA hadir untuk melakukan penilaian terhadap tahap kemajuan dan meluluskan penggunaan VAR di Singapura.
Jelasnya, masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan pihaknya namun sekiranya semua berjalan seperti yang dirancang, mereka berkeyakinan dapat mengimplementasikan VAR dalam saingan SPL musim hadapan.
Untuk makluman semua, sekiranya implementasi ini berjaya, Singapura akan menjadi negara ketiga ASEAN menggunakan VAR selepas Thailand dan Vietnam,
Selain itu, mereka juga akan menjadi negara kesebelas di asia yang mengimplementasikan dalam saingan bola sepak profesional.
Featured Image: Football Association of Singapore