Tiada lagi kelebihan jaringan di tempat lawan bermula saat ini dalam saingan kalah mati tempatan seperti Piala FA dan Piala Malaysia.
Perkembangan tersebut hadir selepas pengelola saingan bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan pemansuhan tersebut menerusi satu makluman pada hari ini.
Jelasnya, pemansuhan tersebut hadir selaras dengan perubahan terkini oleh badan induk benua asia dan eropah, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Untuk makluman semua UEFA membuat keputusan memansuhkan peraturan ini bermula musim 2021/22. Manakala AFC pula memaklumkan perkara yang sama pada 1 Ogos lalu untuk memansuhkannya pada musim hadapan.
Perubahan ini bakal menyaksikan perlawanan yang terikat secara agregat selepas 180 minit permainan timbal balik akan dilanjutkan terus ke masa tambahan (extra time) selama 30 minit.
Sebagai tambahan, sekiranya masih terikat selepas daripada itu, pemenang akan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
Selaras dengan pengumuman ini, pemansuhan ‘away goal’ ini terpakai bermula saingan Piala Malaysia 2022 yang akan membuka tirainya pada 26 dan 27 Oktober kelak.
MFL mengumumkan bahawa pengelola Liga Malaysia itu telah memansuhkan kelebihan jaringan di tempat lawan (Away Goal) dalam kejohanan kalah mati berkuatkuasa pada hari ini selaras dengan perubahan terkini AFC dan UEFA.
Baca lanjut ⤵️#LigaMalaysia2022
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 19, 2022