Penjualan tiket bagi perlawanan akhir Piala AFC yang menemukan Kuala Lumpur City (KL City) dan Al-Seeb mula dibuka secara atas talian di laman Tickethotline pada Isnin lalu.
Menurut makluman oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), YB Khalid Samad, sebanyak 10,000 keping tiket bagi perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu telah terjual setakat hari ini
Perkara tersebut dikongsikannya dalam satu sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa dan Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, petang tadi.
Sementara itu, pihak KL City dalam satu kenyataan terbaru turut memaklumkan mengenai penjualan secara fizikal bermula hari ini sehingga hari perlawanan, Sabtu nanti.
Untuk makluman semua, jumlah tiket yang telah dijual itu adalah bersamaan dengan sekitar 10% kapasiti tempat duduk di SNBJ. Sebagai rekod, stadium tersebut mampu memuatkan sekitar 87,000 penonton pada satu-satu masa.