Sepak Mula KL City vs Al-Seeb Pada 7 Malam Luar Kawalan Kami, Diputuskan AFC
October 19, 2022 Hafizuddin Omar

Penetapan sepak mula perlawanan akhir Piala AFC yang melibatkan Kuala Lumpur City (KL City) dan Al-Seeb pada jam 7 malam, Sabtu nanti, di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mengundang pertikaian ramai.

Pertikaian itu hadir lebih-lebih lagi daripada kalangan penyokong dan penonton yang beragama Islam kerana ianya bermula pada waktu yang sama masuknya waktu solat Maghrib pada hari tersebut.

Menjelaskan mengenai perkara berkenaan, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), YB Khalid Samad berkata semasa dalam sidang media di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada petang tadi berkata, “Ini di luar kawalan kami,”

Tambahnya lagi, “Kami telah menyatakan menginginkan supaya perlawan itu dimulakan lewat sedikit (daripada jam 7 malam) tetapi atas sebab-sebab tertentu maka AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) telah memutuskan bahawa permulaannya tetap tepat pada 7 malam,”

“Oleh kerana ianya pertandingan milik dan jagaan mereka (AFC), kita terpaksa akur.”

Dalam sidang media yang sama, beliau turut memahami berkenaan ada kalangan penyokong skuad berjulukan The City Boys yang tidak berpuas hati dengan pemilihan venue perlawanan akhir di SNBJ berbanding laman sendiri, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Bagaimanapun, perkara ini tidak dapat dielakkan kerana penganjur memerlukan kecahayaan sebanyak 1,800 lux di stadium serta penggunaan video bantuan pengandil (VAR) buat kali pertama di Malaysia.

Komen