Sabah Lanjut Kontrak ‘Pak Karim’ Korea Sehingga Penghujung Tahun 2024
October 20, 2022 Hafizuddin Omar

Pertahanan dari Republik Korea, Park Tae-su atau dikenali sebagai Pak Karim dalam kalangan rakan sepasukan dan penyokong mendapat lanjutan kontrak bersama Sabah FC.

Pemain berusia 32 tahun yang menyertai Sabah sejak tahun 2019 ini diberikan lanjutan selama dua tahun yang menyaksikan dia kekal sehingga tahun 2024. 

Pengurus skuad berjulukan The Rhinos, Ahmad Marzuki memaklumkan perkembangan positif tersebut dan ianya turut dikongsikan di pelbagai platform milik kelab berkenaan, semalam. 

Satu majis menandatangani kontrak antara Park dan majikannya turut berlangsung.

Park mengharungi kempen bola sepak yang cukup cemerlang pada musim ini. Selain membantu Sabah menamatkan kempen Liga Super di tangga ketiga buat kali pertama dalam sejarah, Park turut meledak 8 gol peribadi.

Selepas ini, Park akan meneruskan khidmatnya dengan Sabah dalam saingan Piala Malaysia. Mereka akan membuka kempen dengan menentang UiTM FC pada peringkat Pusingan 16 yang dijadualkan berlangsung pada 26 dan 31 Oktober masing-masing.

Sebagai rekod, Park juga merupakan sebahagian daripada anggota skuad Sabah pada tahun 2019 yang berhasil muncul juara Liga Premier sekaligus mendapat promosi ke saingan Liga Super 2020.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen