Disebalik kejayaan menjuarai saingan Piala Malaysia 2021 dan mara ke perlawanan akhir Piala AFC 2022, Kuala Lumpur City FC (KL City) akui menghadapi masalah kewangan walaupun sangat cermat dalam penggajian berbanding pasukan-pasukan lain dalam saingan Liga Super.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, YB Khalid Samad berkata perkara tersebut terjadi kerana dirinya menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) – organisasi yang memiliki KL City.
“Saya telah diberitahu sebelum ini, oleh beberapa pihak, bahawa sebaik sahaja saya meletakkan jawatan maka duit akan mengalir masuk.”
“Saya diminta ‘berjiwa besar’ dan meletak jawatan supaya KLFA akan menerima duit dan dengan itu Kuala Lumpur City FC akan juga turut menerimanya.” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, baru-baru ini.
Bagaimanapun, ahli politik berusia 65 tahun ini membuat keputusan untuk tidak menuruti perletakan jawatan tersebut dan kekal menyandangnya sehingga ke hari ini. Menurutnya, pemergiannya akan memberikan implikasi berantai kepada skuad berjulukan The City Boys.
“Saya kekal sebagai presiden untuk menentukan tiada campur tangan oleh ahli politik atau ahli perniagaan yang akan merosakkan disiplin dan kerjasama (teamwork) pasukan.”
“Pengurusan baharu yang dicadangkan sekiranya saya meletak jawatan, telah menyatakan secara jelas mereka inginkan Stanley (Bernard) dihentikan,”
“Sekiranya Stanley dihentikan, Bojan (Hodak) akan berhenti kerana mereka merupakan gandingan yang baik. Ianya Stanley yang telah membawa Bojan balik dari Croatia untuk menjadi jurulatih utama Kuala Lumpur City.”
“Dan sekiranya ini berlaku, makan keadaan pasukan Kuala Lumpur City akan kembali kepada seperti dahulu.” tambahnya lagi.
Khalid turut menjelaskan memacu KL City mencapai tahap seperti yang dapat dilihat pada hari ini tanpa sokongan daripada penaja tradisinya amat mencabar.
Bagi mengatasi masalah kewangan yang dihadapi itu, Khalid mendedahkan terpaksa meminjam duit daripada beberapa individu dan institusi serta menjadi penjamin bagi sebahagian daripada pinjaman ini.
“Saya dan Stanley terpaksa menjadi penjamin bagi pinjaman untuk membayar gaji bulanan namun ianya perlu untuk membawa pasukan mara ke hadapan.”
“Kami juga terpaksa mengambil pendahuluan berasaskan tanah milik KLFA dan dengan itu membelanjakan harta KLFA untuk membiayai pasukan ini kerana KLFA adalah pemegang sahamnya.”
“Namun dengan mengharungi ini semua kita telah mencapai kejayaan atas padang sepertimana yang tidak pernah tercapai sebelum ini.”
“Sepertimana pemain-pemain bertungkus lumus dan para jurulatih memanfaatkan segala keupayaan dan kepakaran mereka, kami juga melakukan yang terbaik semampunya untuk menjamin Kuala Lumpur City kekal sebagai pasukan profesional bebas dari segala campur tangan yang tidak diingini.” ujarnya lagi.
Mengambil kira perjuangan yang telah dan sedang dilalui ini, Khalid merayu kepada semua rakyat Malaysia khususnya warga kota untuk memberikan sokongan yang sepenuhnya kepada KL City apabila menentang Al-Seeb pada 22 Oktober kelak di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Beliau mengharapkan dengan sokongan ini, KL City dapat muncul selaku juara dan dapat memberikan efek positif terhadap ranking bola sepak negara di mata dunia.
“Seperkara lagi yang sama penting, (kejuaraan) membuktikan bahawa apabila diurus secara profesional dan berkesan, kita boleh berjaya walaupun terpaksa mengharungi berbagai halangan samada kewangan atau sebagainya.” katanya.