KL City Tutup Kempen Piala AFC 2022 Selaku Naib Juara – Raih Ganjaran RM3.55 Juta
October 22, 2022 Hafizuddin Omar

Kelab yang berpangkalan di ibu kota tanah air, Kuala Lumpur City (KL City) mencipta satu demi satu magis bagaikan sebuah kisah dongeng dengan layak ke perlawanan akhir saingan kelas kedua bola sepak asia, Piala AFC 2022 buat julung kali dalam sejarahnya.

Bagaimanapun, magis itu hilang dalam perlawanan akhir ketika menentang wakil Oman, Al-Seeb yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada hari ini. Ia menyebabkan skuad kendalian Bojan Hodak terpaksa akur bergelar menutup saingan ini selaku naib juara.

Perlawanan yang dihadiri seramai 27,722 orang penonton ini menyaksikan KL City tumpas dengan keputusan 3-0 kepada Al-Seeb.

Kekalahan itu berpunca daripada dua jaringan pada babak pertama oleh Ali Al Busaidi dan Abdulaziz Al Muqbali. Manakala satu lagi jaringan ditambah pada babak kedua oleh Muhsen Saleh Al Ghassani.

Para pemain KL City pula ternyata tiada jawapan balas terhadap gol-gol tersebut dan akur dengan kekalahan tanpa sebarang jaringan.

Walaupun tumpas dan bergelar naib juara, ianya bukan satu perkara yang menyedihkan buat KL City. Satu perkara positif yang boleh diraikan, skuad berjulukan The City Boys meraih wang ganjaran berupa wang tunai sekitar RM3.55 juta (USD750,000).

Namun begitu, berdasarkan kepada Peraturan Pertandingan Piala AFC 2022, wang ganjaran ini akan dipotong sebanyak 5% untuk disumbangkan kepada tabung AFC Dream Asia Foundation – bagi tujuan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Tidak dilupakan, sebelum ini, KL City telah berjaya muncul juara bagi peringkat zon ASEAN apabila menumpaskan wakil Indonesia, PSM Makassar pada 24 Ogos lalu. Kemenangan di peringkat ini juga telah diberikan ganjaran wang tunai sekitar RM470,000 (USD100,000).

Featured Image: AFC Photo Gallery

Komen