Piala Suhandinata: Malaysia Ulangi Pencapaian Edisi Lalu – Duduki Tempat Kesembilan
October 23, 2022 Hafizuddin Omar

Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja Dunia BWF atau Piala Suhandinata 2022 – sebuah saingan badminton berpasukan bagi remaja berusia 19 tahun (B-19) telah melabuhkan tirainya.

Dan pasukan Malaysia berhasil menamatkan kejohanan di tangga kesembilan – menyamai pencapaian edisi terdahulu yang berlangsung pada tahun 2019.

Kedudukan ini menjadi milik Malaysia apabila berhasil menumpaskan Denmark dalam perlawanan akhir bagi penentuan tempat kesembilan hingga ke-16, semalam.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia meraih kemenangan dengan  keputusan 4-1 hasil sumbangan mata daripada Choi Jian Sheng-Lai Ting Cen, Siti Zulaikha, Justin Hoh dan Ong Xin Yee-Cermen Ting.

Sebagai rekod, Malaysia dapat mara ke perlawanan akhir bagi penentuan tempat ke-9 hingga ke-16 ini dengan menumpaskan Kanada 3-2 (separuh akhir) dan India 3-1 (suku akhir).

Sebagai tambahan, Malaysia tidak berjaya mara ke penentuan juara serta tempat kedua hingga kelapan apabila tumpas kepada Indonesia dalam perlawanan akhir peringkat Kumpulan A.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan peringkat sebagai naib juara.

Untuk makluman semua, format kejohanan ini hanya membenarkan juara kumpulan sahaja mara ke saingan untuk merebut gelaran juara serta kedudukan kedua hingga kelapan.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen