Dua beregu Indonesia menjadi ‘batu penghalang’ buat dua beregu lelaki Malaysia mara ke perlawanan akhir saingan Terbuka Denmark – Jelajah Dunia Super 750 BWF.
Beregu negara pertama yang menjadi mangsa tersingkir daripada kejohanan ini di tangan pasangan Indonesia ialah Aaron Chia dan Soh Wooi Yik merangkap juara Kejohanan Dunia BWF.
Gandingan Aaron-Wooi Yik dinafikan kemaraan ke pentas akhir oleh bekas beregu No.1 dunia, Marcu Fernaldi Gideon dan Kevin Sanjaya Sukamuljo atau turut terkenal dengan julukan “The Minions”.
Aaron-Wooi Yik tumpas kepada pasangan ini menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 17-21, 21-13 dan 17-21 dalam tempoh masa 51 minit permainan di peringkat separuh akhir, malam tadi.
Sementara itu, beregu seterusnya yang menjadi mangsa disingkirkan oleh gandingan dari negara jiran tetangga ialah Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi merangkap beregu lelaki No.2 tanah air.
Di peringkat yang sama iaitu separuh akhir, Yew Sin-Ee Yi ditumpaskan oleh beregu Indonesia yang menghuni ranking keenam dunia, Fajar Alfian dan Rian Ardianto.
Dalam perlawanan tersebut, Yew Sin-Ee Yi merekodkan kekalahan secara “straight set” dengan pungutan mata 16-21 dan 20-22 dalam tempoh masa 45 permainan.
Dengan kekalahan dua wakil negara ini, gelaran juara dan naib juara bagi kategori beregu lelaki dalam saingan Terbuka Denmark 2022 ini menjadi milik mutlak wakil dari Indonesia.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia