Gelaran juara bagi saingan Indonesia Masters – Jelajah Super 100 BWF menyaksikan ianya bakal direbut oleh dua pemain negara, Cheam June Wei dan Leong Jun Hao.
Situasi itu hadir apabila kedua-duanya berjaya menumbangkan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir yang berlangsung di Malang, Indonesia, semalam.
Pemain bebas (independent), June Wei yang merupakan pilihan ketujuh untuk menjuarai kejohanan ini terlebih dahulu merekodkan kemaraan ke pentas akhir setelah menumpaskan wakil Taiwan, Lee Chia Hao secara “straight set” dengan skor 21-7 dan 21-3 dalam tempoh 18 minit permainan sahaja.
Sementara itu, pemain naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Jun Hao pula menyusul setelah bertarung selama satu jam 15 minit menentang wakil Republik Korea, Son Wan-ho dengan meraih kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-18, 18-21 dan 21-13.
Bercakap mengenai pertemuan melibatkan June Wei dan Jun Hao, kedua-duanya pernah merekodkan lima pertemuan di kejohanan antarabangsa setakat ini.
Bagaimanapun, daripada lima pertemuan itu, tiga daripadanya memihak kepada June Wei yang kini berada di ranking ke-65 dunia. Manakala baki duanya lagi berpihak kepada Jun Hao, penghuni ranking ke-101 dunia. Perlawanan seterusnya akan menjadi pertemuan keenam melibatkan kedua-dua pemain.
Untuk makluman, pertemuan terakhir melibatkan kedua-dua pemain ini baru sahaja berlangsung pada penghujung bulan lalu dalam saingan Terbuka Vietnam dimana ianya dimenangi oleh June Wei.
Sebagai tambahan, perlawanan melibatkan June Wei menentang Jun Hao diletakkan pada aturan keempat – selepas perlawanan akhir beregu campuran, perseorangan wanita dan beregu wanita pada hari terakhir saingan ini.
Penganjur menjangkakan perlawanan mereka akan bermula seawal 3.30 petang – waktu Malaysia.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia & Badminton Association of Thailand