Terbuka Denmark: Pemain Ranking 44 Dunia Kecewakan Zii Jia Di Final
October 24, 2022 Hafizuddin Omar

Jaguh badminton negara, Lee Zii Jia kempunan untuk bergelar juara apabila tumpas dalam perlawanan akhir saingan Terbuka Denmark – Jelajah Dunia Super 750 BWF, sebentar tadi.

Lawannya yang menghuni ranking ke-44 dunia dari China, Shi Yu Qi menjadi asbab kepada kempunannya Zii Jia di pentas akhir terbabit.

Ini berikutan Yu Qi yang pernah menghuni ranking kedua dunia suatu masa dahulu berjaya menumpaskan Zii Jia menerusi tiga set permainan sengit yang berkesudahan dengan skor 18-21, 21-16 dan 12-21.

Pertembungan melibatkan kedua-dua pemain yang berlangsung di Jyske Bank Arena, Odense ini mengambil masa lebih satu jam permainan untuk disudahkan.

Dengan keputusan ini, Zii Jia terpaksa berpuas hati dengan gelaran selaku naib juara. Untuk rekod, ini merupakan gelaran naib juara pertama diraihnya daripada tiga kemaraan ke pentas akhir, pada tahun ini.  

Sebagai tambahan, ini merupakan pertembungan keempat yang direkodkan melibatkan Zii Jia dan Yu Qi. Keputusan pertarungan pada kali ini menjadikan Yu Qi telah meraih tiga kemenangan daripada empat pertembungan secara keseluruhan ke atas Zii Jia di pentas antarabangsa.

Featured Image: VICTOR Facebook

Komen