MFL Dapat Tajaan Origina – Pek Minuman Sedia Untuk Minum Sehingga Hujung 2023
October 25, 2022 Hafizuddin Omar

Pengelola saingan bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan mendapat satu penajaan baharu daripada sebuah jenama minuman tempatan.

Ia hadir daripada sebuah jenama pek minuman sedia untuk minum (ready-to-drink) iaitu Origina yang mula diasaskan pada tahun 2013.

Dalam satu majlis rasmi antara MFL dan Origina di Hotel Le Meridien yang berlangsung pada hari ini, dimaklumkan, kedua-duanya mengikat perjanjian penajaan sehingga penghujung tahun 2023.

Bagaimanapun, jumlah penajaan daripada Origina kepada MFL tidak didedahkan kepada umum.

Selaras dengan makluman ini, Origina turut diangkat sebagai Rakan Rasmi Minuman Jus & Susu MFL bermula dari saat ini.

Perkara ini membenarkan syarikat jenama air minuman yang diketuai oleh Fatin Diana selaku Ketua Pegawai Eksekutifnya melakukan pelbagai aktiviti pengaktifan jenama di venue-venue perlawanan liga tempatan bermula saingan Piala Malaysia kelak. 

Untuk makluman,  di bawah jenama Origina, mereka mempunyai 10 pilihan perisa yang terdiri daripada berasaskan jus, susu, kopi serta air beralkali.

Sehingga kini, ianya telah diedarkan di sekitar 20,000 kedai di seluruh Malaysia serta beberapa tempat di rantau asia tenggara.

Komen