Saingan badminton antarabangsa pada minggu lalu menyaksikan dua perseorangan lelaki negara iaitu Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao berhasil meraih gelaran naib juara dan juara dalam saingan yang disertai masing-masing.
Selaras dengan kejayaan itu, kedua-dua perseorangan lelaki ini merekodkan peningkatan dalam kedudukan ranking dunia selepas kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pada hari ini.
Zii Jia yang menamatkan saingan Terbuka Denmark 2022 – Jelajah Dunia Super 750 BWF selaku naib juara telah memberikannya 9,350 mata sekaligus melonjakkannya ke tangga kedua ranking dunia pada minggu ini – kedudukan tertinggi dalam karier badmintonnya setakat ini.
Sementara itu, Jun Hao, 23 tahun, yang merangkul kejuaraan Indonesia Masters 2022 bertaraf Jelajah Super 100 BWF pada Ahad lalu pula memberikannya 5,500 mata.
Dengan pungutan mata tersebut, ia membolehkan Jun Hao merekodkan langkauan sebanyak 28 anak tangga sekaligus meletakkannya di tangga ke-73 pada minggu ini.
Pada masa yang sama, kemaskini terbaru oleh BWF turut memperlihatkan beberapa perseorangan lelaki negara yang lain meraih peningkatan.
Antaranya, naib juara Indonesia Masters, Cheam June Wei yang memungut 4,680 mata dan merekodkan 14 anak tangga kini menghuni tangga ke-51 dunia.
Perseorangan senior, Liew Daren yang terkandas di Pusingan 32 Terbuka Denmark juga tidak ketinggalan meraih sedikit peningkatan iaitu naik satu anak tangga dan menghuni ranking ke-28 dunia.
Featured Image: Victor Facebook & Badminton Association of Malaysia