Kemaskini ranking dunia oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini bukan sahaja memperlihatkan satu lonjakan terhadap kedudukan perseorangan wanita No.1 negara, Kisona Selvaduray.
Bahkan kemaskini bagi minggu ke-43 sebentar tadi meletakkan pemain berusia 24 tahun ini semakin menghampiri kelompok 40 terbaik dunia – tertinggi pernah dicapai dalam kariernya.
Tinjauan di laman sesawang rasmi BWF menyaksikan Kisona, kini, berada di tangga ke-41 dunia – peningkatan sebanyak empat anak tangga berbanding minggu lalu.
Untuk makluman, kemaraannya sehingga ke peringkat suku akhir saingan Indonesia Masters – Jelajah Super 100 BWF pada minggu lalu menjadi pencetus kepada peningkatan tersebut. Ia memberikannya 3,030 mata sekaligus mengumpul 35,109 mata secara keseluruhan.
Sementara itu, tiada perubahan dikesan melibatkan seorang lagi perseorangan wanita negara iaitu Goh Jin Wei – kekal di tangga ke-44 dunia – biarpun terkandas seawal Pusingan 32 dalam kejohanan yang sama, pada minggu lepas.
Manakala pemain senior, Soniia Cheah yang turut mengambil bahagian dalam kejohanan Indonesia Masters tetapi tidak dapat meneruskan permainan di set kedua pada Pusingan 32 memberikan kesan negatif terhadap rankingnya dengan penurunan empat anak tangga sekaligus menduduki tangga ke-84 dunia pada minggu ini.
Akhir sekali, satu peningkatan ketara dikesan melibatkan perseorangan wanita muda negara iaitu Myisha Mohd Khairul. Pemain berusia 20 tahun ini hanya beraksi di Pusingan 32 sebelum terpaksa akur tumpas kepada pemain tuan rumah.
Namun begitu, aksinya di peringkat itu sudah memadai untuk mencetuskan lonjakan sebanyak 21 anak tangga dan meletakkannya di ranking ke-148 dunia pada minggu ini.
Featured Image: Badminton Association of Thailand