Nafuzi Mahu Teliti Terma-Terma Tawaran Kontrak Terlebih Dahulu
October 26, 2022 Hafizuddin Omar

Ahli Lembaga Pengarah (BOD) Terengganu FC telah mencapai persetujuan untuk menawarkan lanjutan kontrak selama setahun kepada ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain.

Pada masa yang sama, jurulatih yang bakal menjengah usia 44 tahun itu diberikan masa selama 14 hari untuk menerima atau tidak tawaran terbabit.

Bagaimanapun, menurut perkongsian wartawan tempatan, Tengku Danish Bahri, Nafuzi menerima perkembangan menarik daripada pihak majikannya itu dengan pendekatan tunggu dan lihat.

Jelasnya lagi, keutamaan untuk meneruskan karier selaku jurulatih adalah bersama skuad berpangkalan di pantai timur ini berbanding tawaran daripada kelab-kelab lain.

Selain itu, Nafuzi juga mahu meneliti terma-terma di dalam kontrak lanjutan yang ditawarkan oleh majikannya terlebih dahulu termasuk mengetepikan perasaan peribadi sebelum menerima tawaran terbabit.

Bercakap mengenai tawaran lain, sejak kebelakangan ini, sudah menjadi topik perbualan hangat di pelbagai platform media Nafuzi dikaitkan bakal menyertai kelab lain musim hadapan, salah satunya, Kedah Darul Aman FC.

Namun begitu, Nafuzi turut mengakui mahu merasai suasana beraksi di kancah divisyen kedua bola sepak asia memandangkan Terengganu meraih slot Piala AFC selepas menamatkan saingan Liga Super selaku naib juara pada musim ini.

Secara keseluruhannya, tiada jawapan konkrit diberikan buat masa ini dan Nafuzi turut menekankan mengenai pelbagai perkara boleh berlaku di dalam bola sepak.

Untuk makluman semua, kontrak Nafuzi bagi musim ini akan tamat pada 30 November kelak. Dengan baki kontrak selama 35 hari lagi, satu lagi tugasan yang perlu disudahkan Nafuzi adalah membimbing Terengganu mara sejauh mungkin dalam saingan Piala Malaysia yang bermula pada hari ini dan esok.

Featured Image: Terengganu FC

Komen