Terbuka Perancis: Rhustavito Singkir Zii Jia Di Pusingan 32
October 26, 2022 Hafizuddin Omar

Jaguh badminton negara, Lee Zii Jia bagaikan menerima satu tamparan apabila tumpas mengejut di peringkat awal saingan Terbuka Perancis – Jelajah Dunia Super 750 BWF.

Biarpun masih segar dengan kemaraan ke perlawanan akhir Terbuka Denmark dan mendaki ranking No.2 dunia, Zii Jia terpaksa akur dengan kekalahan di tangan pemain Indonesia, Shesar Rhustavito, sebentar tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stade Pierre de Coubertin tersebut, Zii Jia tumpas secara “straight set” kepada pemain yang berada di ranking ke-24 dunia dengan skor 19-21 dan 18-21 dalam tempoh masa 44 minit permainan. 

Untuk makluman semua, kekalahan yang tercatat pada hari ini menjadikan Zii Jia telah tumpas kepada Rhustavito sebanyak lima kali daripada sembilan pertemuan secara keseluruhan di pentas antarabangsa.

Bukan itu sahaja, ini merupakan kali kedua berturut-turut tewas kepada Rhustavito pada tahun ini. Sebagai rekod, kekalahan pertama Zii Jia kepada Rhustavito berlaku ketika saingan Terbuka Malaysia pada penghujung Jun lalu.

Sementara itu, Rhustavito yang meraih kemenangan dapat mara ke Pusingan 16. Menantinya di peringkat terbabit adalah pemain Jepun yang berada di ranking ke-20 dunia, Kodai Naraoka.

Featured Image: Badminton Asia

Komen