Terbuka Perancis: Beregu Ranking Ke-37 Singkir Juara Dunia
October 27, 2022 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki negara yang menjuarai Kejohanan Dunia BWF, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik turut menjadi mangsa kecundang di peringkat awal saingan Terbuka Perancis 2022.

Dalam saingan ini, pasangan ranking keempat dunia ini diundi menentang beregu No.37 dunia dari China, Liang Wei Kang dan Wang Chang di Pusingan 32.

Namun begitu, Aaron-Wooi Yik terpaksa melupakan hasrat untuk mara lebih jauh dalam saingan bertaraf Jelajah Dunia Super 750 ini apabila dikejutkan oleh gandingan Liang-Wang.

Dalam pertarungan terbabit, Aaron-Wooi Yik mengalami kekalahan secara “straight set” dengan skor 13-21 dan 14-21 dalam tempoh 31 minit permainan yang berlangsung di Gelanggang 1, Stade Pierre de Coubertin.

Untuk pengetahuan semua, ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut dialami Aaron-Wooi Yik di tangan Liang-Wang. Kali pertama mereka tumpas di tangan beregu yang sama adalah sekitar lima bulan lalu dalam saingan Indonesia Masters di Istora Senayan.

Sementara itu, Liang-Wang yang berjaya mara ke peringkat berikutnya iaitu Pusingan 16 akan membuat perhitungan dengan beregu Jerman, Mark Lamsfuss dan Marvin Seidel untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen