Terbuka Perancis: Hanya Sze Fei-Izzuddin Sahaja Berjaya ‘Survive’ Pada Hari Kedua
October 27, 2022 Hafizuddin Omar

Saingan Terbuka Perancis 2022 pada hari kedua bagaikan menjadi kubur buat wakil-wakil negara. 

Manakan tidaknya, daripada lapan wakil yang beraksi di Pusingan 32, semalam, hanya satu sahaja wakil yang berjaya meraih kemenangan. Manakala tujuh lagi wakil daripada pelbagai kategori terkandas ekoran tumpas kepada lawan masing-masing.

Satu-satunya wakil yang mencatatkan kemenangan tersebut adalah beregu lelaki No.3 negara iaitu gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin. Mereka berhasil meraih kemenangan ke atas wakil Denmark merangkap pilihan keenam kejohanan, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen.

Dalam pertarungan itu, Sze Fei-Izzuddin menjelmakan kemenangan secara “straight set” dengan skor yang berkesudahan 21-19 dan 21-10 dalam tempoh 47 minit permainan di Gelanggang 1, Stade Pierre de Coubertin.

Lebih manis, kemenangan yang diraih kali ini merupakan kemenangan julung kalinya Sze Fei-Izzuddin ke atas Kim-Anders di pentas antarabangsa. Sebagai rekod, mereka pernah bertemu empat kali sebelum ini dan keempat-empat pertembungan itu memihak 100% kepada Kim-Anders.

Dengan kemenangan ini, Sze Fei-Izzuddin dapat meneruskan kemaraan ke Pusingan 16 bagi saingan bertaraf Jelajah Dunia Super 750. 

Di peringkat terbabit, Sze Fei-Izzuddin akan berhadapan dengan beregu Indonesia merangkap juara All-England, Shohibul Fikri dan Bagas Maulana untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.

Sementara itu, tujuh wakil negara yang terkandas pada hari kedua Pusingan 32 Terbuka Perancis adalah seperti berikut:

  • Lee Zii Jia
  • Liew Daren
  • Aaron Chia & Soh Wooi Yik
  • Tan Kian Meng & Tan Wee Kiong
  • Vivian Hoo & Lim Chiew Sien
  • Goh Soon Huat & Shevon Jemie Lai
  • Hoo Pang Ron & Toh Ee Wei

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen