Syarikat Pemaju, Telekomunikasi Serta Berkaitan Teknologi Nyata Hasrat Taja KL City Musim 2023
October 27, 2022 Hafizuddin Omar

Kejayaan skuad berpangkalan di ibu kota, KL City mara ke perlawanan akhir dalam kempen sulungnya di pentas Piala AFC 2022 bukan sahaja menarik tumpuan peminat bola sepak tempatan.

Bahkan, kemaraan luar jangkaan anak-anak buah Bojan Hodak itu turut mendapat perhatian syarikat-syarikat sehingga menarik minat mereka untuk menjadi penaja KL City bagi saingan musim hadapan – musim 2023.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), YB Khalid Samad dalam satu sidang media yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

“Kita dapati ramai pihak telah hubungi pihak KLFA dan KL City untuk menjadi sponsor (penaja) bagi tahun depan (selepas mara ke perlawanan akhir Piala AFC).”

“Ini merupakan satu perkembangan yang cukup baik bagi football (bola sepak) di Malaysia kerana kita nak supaya sumber kewangan kelab itu tidak bergantung kepada bantuan daripada state government (kerajaan negeri) ataupun government-linked company (syarikat berkaitan kerajaan) dan sebagainya,”

“Kita inginkan satu industri bola sepak benar-benar swasta dan berdikari maka timbulnya minat untuk menjadi sponsor (penaja) ini dilihat sebagai satu perkembangan yang amat positif,” katanya sambil ditemani oleh Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard.

Memandangkan ianya masih di peringkat awal, tiada sebarang nama syarikat yang menyatakan minat untuk menaja KL City itu didedahkan Khalid. Bagaimanapun, bekas Menteri Wilayah Persekutuan ini sempat berkongsikan sedikit mengenai sektor perniagaan yang diceburi syarikat-syarikat terbabit.

“(Sektor) berbagai, ada (syarikat dalam kalangan) pemaju, ada yang telco (telekomunikasi), ada yang (terlibat) dalam teknologi, dan ada juga tawaran untuk KL City sendiri melabur dalam bisnes yang mendatangkan hasil.”

“Mungkin (KL City) akan invest (labur) dalam technology related companies, (perkara ini) sedang dikaji, kalau jadi kita akan bawa kepada BOD (Ahli Lembaga Pengarah) kalau nampak ada tawaran yang serius supaya kita boleh generate (jana) pendapatan,” tambahnya lagi.

Untuk makluman semua, sejak tahun 2020, skuad berjulukan The City Boys ini beroperasi dengan sumber kewangan utama yang diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku penaja utama – berjumlah RM5 juta setiap tahun tidak termasuk penaja-penaja lain.

Komen