Skuad berpangkalan di ibu kota, Kuala Lumpur City (KL City) mengakui sedang dalam proses untuk menaturalisasikan dua orang pemain asingnya Romel Morales dan Paulo Josue.
Mengesahkan perkembangan itu adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad ketika dalam sidang media yang diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.
Isu naturalisasi melibatkan pemain-pemain bola sepak sentiasa menimbulkan debat hangat bukan sahaja dalam kalangan peminat bola sepak bahkan rakyat Malaysia secara amnya. Ada yang menyokong dan tidak kurang yang membangkangnya.
Namun begitu, Khalid yang juga merupakan mantan Ahli Parlimen Shah Alam melihat ianya perlu diteruskan. Bagi konteks pasukan KL City – dimana KLFA merupakan pemegang sahamnya – ianya perlu agar dapat mengosongkan dua slot pemain asing sekaligus dapat diisi dengan pemain baharu.
“Kita akan berusaha untuk melakukan naturalisasi bagi Romel (Morales) dan juga Paulo Josue,”
“Naturalisasi bagi ahli sukan tidak seharusnya dilihat sebagai kontra kepada naturalisasi yang menjadi isu politik sekarang inilah, iaitu, yang nak dapatkan (kerakyatan) anak (yang lahir di luar negara) bagi wanita rakyat Malaysia,”
“Itu isu lain, itu saya sokong pindaan (perlembagaan) selaku mantan Ahli Parlimen Shah Alam untuk (memberi kerakyatan) anak-anak bagi wanita Malaysia,”
“Tetapi persoalan kepada naturalisasi pemain-pemain sukan juga harus diteruskan,”
“Jadi, bila kita dapat naturalisasi untuk Romel dan juga Paulo maka kuota untuk foreign players (pemain asing) boleh kita tambah, jadi, betul, kita akan tambah kekuatan team (pasukan) KL City,” katanya dihadapan para pengamal media yang hadir sambil ditemani Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard.
Pada masa yang sama, Khalid meletakkan sasaran proses naturalisasi Romel dan Paulo itu dapat dilengkapkan sebelum tertutupnya jendela perpindahan pertama musim 2023 kelak.
“Naturalisasi itu dah dalam proses… Insya-Allah kita cuba usahakan untuk dapatkan (lengkapkan proses) sebelum 2023 punya jendela perpindahan ditutup untuk mendapatkan player (pemain) baru,” tambahnya lagi.
Untuk makluman semua, ketika ini, Malaysia mempunyai lima pemain asing yang bukan berdarah kacukan atau berdarah warisan yang telah menjalani proses naturalisasi sekaligus mendapat kerakyatan Malaysia.
Lima pemain tersebut ialah Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Sergio Aguero dan Lee Tuck.
Featured Image: AFC Photo Gallery